Macam-macam diet dan manfaatnya untuk kesehatan
Sayuran adalah penting bagi kesehatan. Begitu juga
buah-buahan, karbohidrat kompleks, dan protein. Rempah-ratus jarang-jarang
diambil kira dalam formulasi diet
yang seimbang atau dalam piramid makanan kerana rempah-ratus digunakan dalam
kuantiti yang kecil dan mungkin dianggap sebagai tidak memberi kesan nutrisi
yang ketara. Makanan dari alam
tumbuhan sentiasa penting kepada manusia
melainkan beberapa pengecualian di mana daging haiwan merupakan makanan utama.
Kebanyakan hasil penyelidikan menunjukkan bahawa diet yang seimbang sangat
penting kepada kesihatan manusia. Pengambilan makanan daripada satu kumpulan
makanan sahaja telah terbukti dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan.
Penyelidikan telah menunjukkan bahawa makan terlalu banyak lemak dikaitkan
dengan kanser payudara, kolon, prostat, dan rektum. Diet yang kekurangan serat
pula dikaitkan dengan kanser usus besar. Kelaziman mengambil antioksida telah
terbukti mengurangkan kemungkinan kanser kerongkong dan kanser perut. Makanan
yang kurang sesuai untuk tubuh dikaitkan dengan alergi, angin di dalam usus,
artritis reumatoid, dan sakit perut. Pengambilan makanan yang sama sahaja
setiap hari walaupun daripada tumbuhan boleh menimbulkan masalah kepada kesihatan.
Kerap memakan jagung sahaja secara berlanjutan dan jarang-jarang makan protein
telah dikaitkan dengan penyakit pelagra, sejenis penyakit kronik basil
kekurangan asid nikotinik yang menghasilkan masalah perut dan usus, penyakit
kulit berbisul dan masalah sistem saraf Makan ubi kayu sebagai makanan utama
dan pucuk ubi sebagai lauk secara berlanjutan tanpa mengambil makanan lain
boleh menimbulkan masalah kekurangan darah, kekurangan nutrisi, kelemahan
seluruh tubuh, dan tumbesaran terencat.
Terdapat banyak jenis diet atau formula makanan untuk
kesihatan, penyembuhan atau untuk menguruskan badan. Beberapa jenis diet untuk
kesihatan dan penyembuhan diterangkan selanjutnya di sini. Diet untuk
menguruskan badan tidak diterangkan kerana ia perlu diamalkan dengan
berhati-hati bagi mengelakkan kesan sampingan yang mungkin mengancam kesihatan.
Makan satu jenis makanan sahaja atau satu kumpulan makanan sahaja untuk
menguruskan badan boleh menimbulkan banyak jenis risiko kepada kesihatan. Kita
perlu membekalkan semua jenis nutrien yang diperlukan oleh tubuh untuk
mengelakkan masalah nutrisi tidak seimbang. Bukan semua jenis diet diberikan di
sini, tetapi apa yang diterangkan seterusnya ini telah dipilih kerana memberi
tumpuan kepada kepentingan sayuran, buah-buahan, dan karbohidrat yang kompleks.
Sayuran dan makanan lain yang berasal daripada tumbuhan sangat penting untuk
kesihatan dan penyembuhan bagi diet-diet yang dipilih.
0 komentar:
Posting Komentar